RepWarn

Wednesday, October 21, 2015

PENGASINGAN KUASA

PENGASINGAN KUASA
Terjemahan Bahasa Melayu
Artikel Asal SEPARATION OF POWERS http://chedet.cc/?p=1892
1. Timbalan Perdana Menteri merujuk kepada pengasingan kuasa apabila mengulas kenyataan Raja-Raja mengenai keperluan mempercepatkan penyiasatan ke atas 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib. Adakah ini satu pelanggaran pengasingan kuasa yang diandaikan antara Raja-Raja dan Kerajaan?
2. Ianya benar bahawa Agong dan Raja-Raja Melayu adalah raja berperlembagaan. Tetapi itu tidak bermakna bahawa mereka adalah pak turut semata-mata untuk mengesahkan semua tindakan Kerajaan.
3. Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan Negeri mengikuti Perlembagaan Persekutuan) menyatakan dengan jelas bahawa “Kuasa Eksekutif Persekutuan hendaklah terletak kepada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana Undang-Undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, dijalankan olehnya atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada individu lain.”
4. Perkara 40 menyatakan dengan jelas bahawa Agong adalah berhak, atas permintaannya, mendapat segala maklumat yang ada kepada Kabinet.
5. Kedua-dua bahagian ini jelas memberikan Yang di-Pertuan Agong beberapa peranan eksekutif.
6. Perkara 40 Peranggan (2) jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan fungsi:
a) melantik seorang Perdana Menteri
b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen
c) Undang-Undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi mengkehendaki Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas cadangan mana-mana individu atau sekumpulan individu.
7. Pada kebelakangan ini, kita melihat Raja-Raja telah menolak pencalonan oleh parti majoriti bagi jawatan Menteri Besar.
8. Sekiranya Perdana Menteri meminta untuk membubarkan Parlimen, Agong boleh menolak.
9. Sekali lagi kita lihat di sini bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja boleh bertindak atas budi bicara mereka sendiri. Mereka juga boleh berunding dan menerima cadangan daripada mana-mana individu atau kumpulan individu.
10. Jelas sekali jika petisyen telah dibuat atau ada suara desakan ramai, Raja-Raja tidak perlu hanya mendengar Kabinet.
11. Seksyen 41 tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Jelas sekali ini bukan sahaja hak istimewa untuk pemakaian seragam tersebut.
12. Apa yang jelas ialah tiada apa jua dalam Perlembagaan yang bercakap mengenai pengasingan kuasa di antara Kerajaan dan Agong. Malah dalam kebanyakkan keadaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri.
13. Dan Agong boleh mendengar individu selain daripada Kabinet. Inilah sebenar hakikat yang diharapkan kerana kegagalan Kabinet untuk menangani aduan rakyat memerlukan Agong dan Raja-Raja menggesa Kerajaan untuk bertindak balas.
14. Dalam membuat kenyataan mereka, Raja-Raja tidak berada dalam keadaan melebihi had peruntukan Perlembagaan. Mereka sebenarnya mematuhi peruntukan perlembagaan.
15. Sebaliknya, yang sama tidak boleh dikatakan mengenai prinsip pengasingan kuasa antara perundangan, eksekutif dan kehakiman.
16. Pada masa ini, Perdana Menteri, sebagai ketua penggubal undang-undang yang dipilih, secara jelas tidak menghormati prinsip-prinsip ini.
17. Sebagai contoh pegawai-pegawai pentadbiran yang sedang menyiasat 1MDB dan akaun RM2.6 bilion telah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, menyebabkan pemberhentian kerja mereka. Penggantian mereka adalah ketara dengan kelulusan Perdana Menteri.
18. Pegawai-pegawai SPRM telah diberi layanan yang sama, sekali lagi menyebabkan siasatan terhalang.
19. Peguam Negara, seorang ahli badan kehakiman telah disingkirkan ketika beliau menjalankan tugas menyediakan kes tersebut untuk mahkamah. Di tempat beliau seorang hakim telah dipindahkan untuk mengambil alih tugas sebagai Peguam Negara. Ini sebenarnya perampasan kuasa badan kehakiman.
20. Peguam Negara dikatakan sakit, tetapi dia menafikan dirinya sakit. Setakat yang diketahui, tiada sijil perubatan yang mengesahkan bahawa dia sakit telah dikeluarkan.
21. Semua ini adalah pengetahuan umum. Raja-Raja mungkin pernah mendengar dan mungkin juga menerima petisyen mengenai sikap pengabaian secara authoritarian undang-undang dan peraturan Kerajaan.
22. Rakyat negara ini adalah subjek Raja-Raja. Sebagai Raja-Raja mereka perlu menjaga kebajikan rakyat.
23. Jika pada pendapat mereka, Kerajaan perlu membenarkan siasatan cepat dan cekap dijalankan ke atas isu-isu yang penting kepada rakyat dan negara ini, adalah kewajipan Raja untuk memaklumkan kepada Kerajaan rasa tidak puas hati rakyat dengan isu ini dan meminta perkara ini diberi perhatian.

No comments:

Post a Comment