SOLO

Solo Build It!

Thursday, November 27, 2014

Perkahwinan ibu bapa tidak berdaftar, mahkamah perintah remaja diberi MyKad The Malaysian Insider


Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara mengiktiraf kerakyatan dan mengeluarkan MyKad kepada seorang remaja walaupun perkahwinan ibu bapanya  tidak didaftarkan.
Hakim Datuk Hue Siew Kheng berkata Perlembagaan Persekutuan tidak mengambil kira status ibu bapa seseorang yang dilahirkan di dalam negara.
"Kerajaan tidak wajar menghukum anak di atas kesilapan ibu bapa," kata beliau dalam membenarkan kes saman seorang ahli perniagaan, R. Moorthy, yang mahu Putrajaya mengiktiraf kewarganegaraan anaknya Navin.
Hue berkata Putrajaya secara tersirat mengiktiraf kerakyatan Navin ketika meluluskan permohonan paspotnya, kerana dokumen tersebut hanya dikeluarkan kepada warganegara.
Beliau juga memerintahkan Moorthy dibayar kos RM8,000, dan mengarahkan JPN mengeluarkan MyKad kepada Navin, kini 16 tahun, dalam tempoh 16 hari.
Hakim juga memuji Moorthy kerana menjalankan tanggungjawab sebagai ayah tunggal dengan membesarkan dan mendidik anaknya.
Navin menunjukkan prestasi cemerlang dalam ujian UPSR dengan keputusan 5A.
Sejak 2010, Moorthy, yang diwakili peguam Anou Xavier (gambar, kiri), telah dua kali gagal mendapatkan taraf kerakyatan bagi anaknya.

Ini memaksa beliau memilih jalan mahkamah dengan memfailkan samannya tahun lepas.
Kerajaan bertindak cuba membatalkan saman Moorthy dengan alasan Navin seorang anak luar nikah kerana ibu bapanya tidak berkahwin.
Bagaimana pun, Hue menganggap hanya perbicaraan mahkamah dapat meleraikan permasalahan tersebut.
Disember lalu, Moorthy menamakan ketua pengarah JPN, ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Moorthy sebelum ini diberitahu JPN bahawa anaknya bukan rakyat Malaysia walaupun memiliki sijil kelahiran dan paspot Malaysia.
Dalam afidavitnya, Moorthy berkata anaknya menjadi bahan ejekan rakan-rakannya di sekolah disebabkan taraf kerakyatannya.
"Mereka memanggilnya warga asing," kata Moorthy, yang turut menjalankan ujian DNA bagi membuktikan Navin merupakan anak kandungnya.
Ibu Navin, seorang rakyat Filipina, tidak dapat dikesan.
Dalam suratnya pada Julai tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan permohonan kerakyatan Navin ditolak kerana perkahwinan bapanya tidak didaftarkan menurut undang-undang tempatan. –  25 November, 2014.

No comments:

Post a Comment