SOLO

Solo Build It!

Thursday, January 2, 2014

Laut terbelah di Korea Selatan: Umat Islam kaitkan kisah Nabi Musa, penduduk tempatan ada cerita sendiri The Malaysian Insider


Fenomena laut terbelah di Pulau Jindo, Korea Selatan kelihatan sama seperti kisah lautan yang terbelah pada zaman Nabi Musa sewaktu beliau dan pengikutnya lari dari kekejaman firaun di Mesir.
Namun bagi warga tempatan pula, ia mempunyai kisah tersendiri.
Mereka mengaitkan kejadian ini dengan sebuah kampung di Pulau Jindo yang diserang harimau dan menyebabkan penduduk lari ke pulau terdekat, Modo, untuk perlindungan.
Namun, seorang wanita tua, Pong yang tidak mampu meninggalkan kampungnya di Pulau Jindo meminta bantuan Dewa Laut yang kemudian memisahkan laut untuk wanita tua itu lari dari bahaya haiwan liar di kampungnya itu.
Walaupun dengan pelbagai fahaman dan persamaan dengan sejarah agama Abrahamik, kejadian ini sebenarnya boleh dijelaskan dengan kaedah saintifik.
Kejadian yang berlaku beberapa kali dalam setahun adalah disebabkan pertebungan arus secara serentak yang menyebabkan air surut sebanyak tujuh meter lalu menyebabkan lautan terbelah dan menjadikan laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 60 meter.
Kewujudan fenomena aneh ini diketahui ramai hanya selepas ianya ditulis dalam akhbar Perancis oleh duta negara itu, Pierre Randi sewaktu lawatannya ke Korea Selatan pada tahun 1975.
Pelancong memenuhi laut yang terbelah di Pulau Jindo, Korea Selatan.Semenjak itu, fenomena ini menjadi tarikan pelancong di Pulau Jindo dan disambut setiap tahun antara bulan Mac dan Jun.
Ia berjaya menarik seramai setengah juta orang di pesta itu dan dikenali sebagai “Jindo Yeongdeung Festival” atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Di pesta berkenaan, para pelancong dan penduduk setempat memakai kasut but getah berwarna kuning dan berpusu-pusu untuk mengumpulkan hasil lautan lain seperti tiram, ketam dan rumpai laut yang boleh didapati ketika lautan surut.
Hasil lautan itu kemudiannya boleh dimasak oleh peniaga kecil di sana atas permintaan pelanggan.
Terdapat tarikan lain juga sewaktu pesta ini seperti pertunjukan bunga api, lampu laser serta persembahan muzik tradisional.
Bagi sesetengah penduduk tempatan, kejadian ini tetap menjadi peristiwa mistik dan ramai yang berdoa dan bersembahyang di sana agar keinginan mereka serta keluarga mereka dimakbulkan.
Baru-baru ini, Malaysia juga telah dikejutkan dengan kejadian aneh di Lahad Datu, Sabah yang telah dikaitkan dengan kemungkinan berlakunya tsunami di Kepulauan Tambisan apabila ikan tamban naik ke darat dengan banyaknya.
Namun Jabatan Meteorologi Malaysia tidak dapat mengesan sebarang pergerakan kerak bumi di sekitar kepulauan itu.
Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis, Dr Ibrahim Komoo menyifatkan kejadian tersebut sebagai perubahan dalam laut sendiri seperti suhu air dan kadar kemasinan air laut.
Oleh kerana hanya sejenis ikan sahaja yang terlibat, beliau menambah bahawa ikan adalah haiwan yang sangat sensitif dengan perubahan kandungan air dan perubahan keseimbangan dalam diri ikan juga akan membuat mereka berkelakuan pelik. – 2 Januari, 2014.

No comments:

Post a Comment